Sunday, December 27, 2009

Bidaah "salam 1 Malaysia"


Rakyat kini digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’.

Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.

Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'.

Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.

Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang bertentangan dengan tuntutan agama.

"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.

Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.

Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.

Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Begitu juga mufti-mufti lain.

Mohamad turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal.

Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan di negara ini sejak tahun 1957.

“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.

“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan sekarang ini sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.

Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.

OLEH: Mohd Yusri Amin

CALENDER